AMPANG, 26 Februari 2023 - Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dilancarkan hari ini oleh YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi yang bertujuan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan.


Inisiatif ini melibatkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras dengan pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar Madani.


Terdapat tiga inisiatif di bawah IPR yang diumumkan hari ini iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).


Majlis perasmian yang berlangsung di LRT Cempaka, Ampang itu turut dihadiri YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor dan Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi.